Monday, May 31, 2010

SURAT TERBUKA UNTUK MELETAKKAN SATU YANG BENAR TIDAK MERAGUKAN


Daripada:   Maj Mohmad Anuar Ahmad (B) 
21  Mei 2010
Kepada:
Saudara YDP Cawangan Negeri dan YDP/Setaraf di IPT                                                                                                                
Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM)



SURAT TERBUKA UNTUK MELETAKKAN SATU
YANG BENAR TIDAK MERAGUKAN

...............................................................................................................................................................................


1.   Saya mulakan dengan kalimah yang sangat besar ertinya dan saya berpegang teguh  dengannya kerana Dia Yang Maha bagi segala-segalanya  dan saya bergantung harap sangat akan RahmatNya, Tuhan YME.  Oleh demikian apa yang dinukilkan di sini adalah satu kebenaran dan tiada yang tidak benar melainkan benar belaka dan sesungguhnya dengan Zat,  Sifat,  Asma’  dan  Afaal  Tuhan Seru sekalian alam,  saya bertanggungjawab sepenuhnya  ke atas apa yang saya sampaikan kepada saudara.

Saudara,
2.   Saya kira surat ini bukan satu kejutan kerana saya pasti saudara sudah jenuh mendengar tentang diri saya sabit dengan kemelut perjawatan Guru Utama PSSCM.  Bagi saya apapun yang telah saudara dengar sama ada baik atau tidak, saya tetap telah berdiam diri tidak pernah membangkitkan isu ini secara umum berhadapan khalayak penuh.  Namun tidak pula saya nafikan, jika ada mana-mana pihak meminta pandangan saya,  saya langsung memberi  jawaban yang berpegang kepada yang benar dan tidak yang tidak benar.  Setidak-tidaknya itulah pendirian saya.

3.   Seawal bermula episod perlantikan Datuk Hj Maideen Kadir Shah (Datuk),  nama saya telahpun diwar-warkan oleh Datuk,  bahawa saya tidak menerima beliau sebagai guru, walhal saya sendiri telah berbaiah dengan Datuk bermula pula dengan kalimah Bismillahir Rohmaa nirRohiim dan diakhiri dengan satu doa “ Ya Allah, tolonglah aku”.  Ini  disaksikan oleh ramai penyelia-penyelia Lembah Kelang bertempat di Hotel  D’Palma Ampang,  Kuala Lumpur pada 12 Jul 2009.  Seluruh semananjung Tanah Melayu di  mana ada majlis ijazah atau tidak, Datuk terus melaungkan dengan satu perumusan bahawa saya dan seorang lagi AJK Pusat tidak menerima beliau.  Bukan setakat itu,  bahkan dilaporkan dalam ucapan-ucapan  beliau terselit  kata-kata berbaur hina kepada kami.  Saya terus diam dan tidak mahu melatah atau bangun untuk pertahankan diri,  walaupun saya mempunyai hak ke atas perkara ini. Saya juga turut menghormati dan memuliakan keputusan  YM Tuan Hj Ishak Itam atas penyerahan tugas mahupun jawatan kepada Datuk.

4.   Sebaliknya ramai yang pertikai tentang karektor dan personaliti Datuk,  saya tetap pertahankan bahawa apa yang penting adalah pertamanya kita hendaklah menerima Datuk kerana menghormati  keputusan oleh YM Tuan Hj Ishak Itam dan lagi disesuaikan  pula dengan keinginan dan saranan YM Tuan Hj Ishak  supaya kita hendaklah bersatu demi perpaduan ahli-ahli persatuan.  Dalam hal ini,  saya pernah bawa bicara dengan beberapa YDP,  akan isu dan masalah yang saya sedia hadapi dan kami mempunyai pandangan yang sama bahkan saya turut menyatakan sebagai satu pendirian bahawa apalah hak kita untuk menyanggah keputusan tersebut kerana pertama sekali  selain menghormati dan memberi  laluan atas kataputus Guru Utama,  adalah juga kerana sesuatu yang berlaku adalah dengan izin Tuhan jua tetapi  sama ada benar sebagai Hak atau tidak,  sama ada Dia redho atau tidak,  bukanlah urusan kita untuk menentukannya,   bahkan kepada Allah kita harus berserah kerana jika tidak benar, Tuhan juga akan memberi petunjuk dan dorongan kepada semua.  Dari Dia kita terima dan kepada Dia kita berserah.  Hanya masa yang akan menentukan.

5.   Justru itu banyak sangat peristiwa berlaku dan berlalu begitu sahaja.  Semua ini  dan tidak lain tidak bukan adalah bagi menjelaskan kepada kita semua bahawa  ada sesuatu yang tidak kena bersabit dengan keguruan Datuk.  Seumpamanya perihal kelakuan, percakapan, perbuatan dan pendirian Datuk dalam menerajui  majlis-majlis dan ehwal pentadbiran persatuan.   Ada yang membangkitkan masalah kepimpinan Datuk dengan bersandarkan kepada hadis dalam memberi  tafsir sikap dan pemimpin di akhir zaman bahawa betapa nanti akan hadir pemimpin jahil apabila:
a.     Bercakap tidak mendatangkan ilmu.
b.     Bercakap dengan menghina orang atau tamu dalam majlis.
c.     Bercakap dengan membesarkan diri.

6.   Di samping itu juga dibangkitkan perihal isu adap dan kederhakaan terhadap YM Tuan Hj Ishak dan pencabulan ke atas perlembagaan persatuan.  Untuk ini saya turut kepilkan bersama pekeliling PSSM Cawangan Selangor, menjelaskan beberapa isu yang terpaksa dijelaskan oleh AJK Selangor atas tuntutan ahli-ahli cawangan yang menuntut diadakan satu  Mesyuarat Agung Cawangan Luar Biasa pada 10 Okt 2009.  Sesudah mesyuarat tersebut  Cawangan  Selangor terus menjadi sasaran kepimpinan Datuk.

7.   Saya tidak mahu membuat apa-apa komen atas perkara-perkara tersebut di atas,  kerana sebahagiannya sudah jelas dari pekeliling Cawangan Selangor dan yang lainnya juga jelas dalam pengamatan umum.

8.   Hanya saya ingin sentuh adalah pada satu isu yang sangat besar khilafnya kerana ini sangat melibatkan kesemua ahli-ahli dan juga masyarakat umum.  Pada peringkat awal saya tidak mahu membawa sebagai isu dan saya cuma ambil isu ini untuk pedoman saya sendiri,  tetapi keadaan juga memaksa saya dan akkhirnya saya terpanggil untuk disampaikan kepada umum secara terbuka.  Bermula  pada 21 Mac di dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan Selangor, saya telah menyatakan tentang pendirian saya sebagai bahan bicara di dalam mesyuarat tersebut.  Alhamdulillah, saya diberi suntikan baru tidak kira sama ada berjaya atau tidak dalam menyampai seruan ini,  asalkan saya tahu saya dan rakan-rakan berada dan berpegang pada suatu yang benar.  Perjuangan kami adalah bukan mencari  kemenangan tetapi menyata dan berpegang terus pada kebenaran.  Adalah menjadi sukar pada diri saya ini untuk meneruskan perjuangan dalam persatuan dengan tidak menghirau bab syahadah ini.

9.   Saya membelakangi akan isu-isu adap dan susila murid dan guru,  saya ketepikan fasal buruksangka terhadap Datuk atas kelakuan,  perbuatan,  percakapan dan pendirian Datuk dan saya juga tidak fokus pada fasal-fasal  perlembagaan walaupun perkara-perkara ini boleh menyumbang kepada ketidakbenaran ehwal Datuk.  Mengapa? Tidak lain tidak bukan kerana  syahadah yang pernah digunapakai oleh Datuk sangat jelas bagi saya, selain satu yang sangat khilaf,  isu syahadah ini juga menjelas akan perihal siapakah Datuk tanpa niat memburuk-burukkan beliau,  tetapi sebagai satu pernyataan dan petunjuk mutlak yang harus saya kongsikan kepada semua termasuk saudara. Sekiranya saudara dan semua yang tersampai akan berita dalil dan borhan ini, maka saya dan kawan-kawan  telah meloloskan diri dari pertanggungjawaban ini kepada anak bangsa,  lebih besar lagi dan mutlaknya adalah kepada Tuhan. Masya Allah.    Untuk makluman saudara dan semua ahli masyarakat,  saya terdorong dengan tindakan ini bukan kerana pengaruh nafsu, bahkan saya turut merujuk perkara ini kepada mereka yang dikira layak dengan beberapa pro dan kontranya.  Namun sepertimana telah saya katakan dari awal lagi,  ini adalah untuk kebaikan ummah semua bukan sekadar kepada kalangan ahli-ahli dan kerana ini saya berani mengaku untuk bertanggungjawab penuh ke atasnya. n

10.   Isu syahadah yang pernah disalah sebut oleh Datuk,  bukanlah sesuatu yang diada-adakan tetapi sudah ramai yang tahu sama ada melaluiinternet – Youtube dan dalam sembang-sembang kedai kopi,  hatta saya percaya bahawa perkara telah dimaklumkan kepada pihak berwajib.  Sementara menanti apa kata pihak berwajib,  saya juga merasakan tidak salah bagi saya untuk mengutarakan perkara ini sebagai pendapat konklusif dari saya sebagai insan,  ahli PSSCM,  anak bangsa dan rakyat Malaysia.  Maka rasa tidak selesa ini untuk mencari tempat rujuk dan adalah mustahil hanya ada dua tempat sahaja wajar untuk dirujuk, iaitu YM Tuan Hj Ishak dan Datuk.  Pun begitu Tuan Hj Ishak meminta kami membetulkan syahadah Datuk tetapi ramai anggap kami berbohong dalam isu ini.  Puas kami merujuk kepada ramai alim dari alim fiqh sehingga alim dalam Hikam,  tetap semuanya mendapati syahadah itu salah.  Inilah penjelasan atas pendirian saya yang konklusif:

a.   Lafaz kalimah syahadah tauhid yang tidak lazim.   Assyahadu Allah ilaha illallah.  Bukan sahaja tersasar dari maksud rukun dan syarat yakni nafï  dan ithbat,  kalimah yang terkalam boleh dipertikai:
i.   Keseluruhan kalimat itu tidak membawa erti yang sesungguhnya.  Diterjemah secara lafazah adalalah Aku menyaksi (atau naik saksi) Allah Tuhan melainkan Allah.   Terdapat ada tiga kekeliruan/khilaf.   
         Pertama.  Siapa Tuhan dan siapa Allah.   Allah dalah nama bagi empunya  Zat, Sifat, Asma’ dan Afaal.  Tuhan adalah untuk      disembah        dan apa yang kita   lazim ucapkan adalah tiada tuhan lain seperti Tuhan yang empunya Zat, Sifat, Asma’ dan Afaal  kecuali   Allah yakni itulah Tuhan yang kita sembah. 
        Kedua.    Allah yang mana telah disaksikan oleh Datuk, kerana Allah adalah nama bagi ZatNya, walhal Allah itu tidak dapat diumpamakan atas sesuatu.   Hatta tidak ada satupun insan di alam syahadah ini pernah bersaksi /melihat kepada  Zat  kecuali Nabi Muhammad SAW dan ini kita percaya dan beriman  atas sifat kerasulannya.  Maka harus kita faham bagaimana  pula Datuk mampu memperjelaskan rupa Zat yang disaksikan. 
         Ketiga. Atas perlakuan ini kami dinasihat supaya jangan ikut dan harus tolak kerana bukan sekadar salah, malah menjadi syirik  dan boleh termurtad. 
ii.   Sehubungan dengan kalimah yang pernah dibawa Datuk, adalah bersamaan dengan pegangan dan pakaiangolongan Khadiani yang mana ternyata ditolak aqidahnya dan  telah dihukum  kafir oleh  ulama sunnah waljamaah.  Sila rujuk kepada mana-mana ulama muktabar.

b.   Tiada penjelasan konkrit dari  kepemimpinan PSSCM.   Kalimah tidak lazim ini bermula pada majlis ijazah rasmi yang pertama bagi Datuk selaku Guru PSSCM, di PL  Kuang pada 22 Jul 2009 dan sesiapun tidak menyedari  akan khilafnya kalimah tersebut.  Kekhilafan ini pertama kali dikesan  adalah di Johor Bharu dan cerita mula tersebar dan setiap kali majlis ijazah asas perkara dapat dikesan, lalu menjadi sangsi di antara para hadirin yang prihatin.  Perkara telah dirujuk kepada YM Tuan Hj Ishak,  yangmana beliau meminta perkara ini dapat diperbetulkan. Sehubungan dengan itu beberapa orang yang berani dan bertanggungjawab membuat pertanyaan kepada pihak persatuan.  Akan tetapi bukan penjelasan diterima malah mereka ini di ambil tindakan digantung sebagai tenaga pengajar atas alasan tidak hadir pada sesi penyiasatan dan  salahlaku dalam kaedah menyampaikan teguran atau pertanyaan.  Perkara yang sama menjadi  agenda Mesyuarat Ahli-ahli Jawatankuasa Pusat pada 23 Ogos 2009 yang mana dipengerusikan oleh Datuk.  Penjelasan  diberi  bukan salah ucap tetapi berlaku kerana telo dari lidah Datuk  seorang keturunan India.  Malangnya penjelasan itu duhujahkan oleh Setiausaha Agung dan  bukannya dari tuan punya diri yang disabitkan yakni Datuk.  Bagaimanapun saya masih tertanya-tanya  apakah yang dimaksudkan  SUA, dalam penjelasannya bahawa kelainan pada ucapan Datuk adalah tidak sama seperti di dalam hatinya.  Datuk bak kata loghat utara 'haram  sepatah’  tidak bersuara dalam isu ini.  Beliau hanya bersuara selepas perkara tersebut  diputuskan dan cuma memberi  komen-komen atas  isu/agenda lain.  Di sini berlaku satu peristiwa  salah seorang dari AJK, Penolong Pegawai Penerangan Komdr Roslizan (B)  telah memufarakah  dari  barisan Jawatankuasa   Pusat.  Saya  sendiri pada mesyuarat tersebut masih tergamam dengan peristiwa tersebut tetapi  masih  memberi komitmen dalam mesyuarat dengan menyatakan apa yang saya faham bahawa  Datuk  hanyalah seorang pelaksana tugas-tugas Guru Utama dan Presiden; dan Guru Utama dan  sebenar  Presiden masih lagi YM Tuan Hj Ishak.  Malangnya mesyuarat telahpun dan tetap  putuskan untuk mengadakan Mesyuarat Agung Perwakilan Luar Biasa bagi usul  jawatan Guru Utama kepada Datuk tanpa undi  dan bahas,  ini adalah kerana bagi mengukuh kedudukan  Datuk selaku Guru Utama yang tidak mahu dijadikan isu,  lebih-lebih lagi  kerana  ada petisyen  dari kalangan ahli bersabit dengan kalimah syahadah.   Saya tidak mahu bicara tentang kesahihan aturan dalam perlembagaan kerana ini adalah isu yang berasingan,  bersabit dengan fakta  undang-undang tubuh yang mungkin ada perkara-perkara samar dan boleh jadi satu bahas yang  panjang.   Sepertimana saya katakan bukan kemenangan yang  dicari tetapi menyata dan berpegang kepada kebenaran. Kemudian  secara pribadi saya turut mecari fakta-fakta kejadian,  selain dari  rakaman Youtube saya turut mendapat input dari beberapa orang dan di sini saya tidak mahu  namakan sesiapapun sebab saya sangat percaya dan tidak mahu melibatkan mereka  secara  khusus.  Saya dengan pendirian saya, terpulanglah kepada saudara untuk menyiasat bagi  semua  dalil dan borhan.  Dan atas pencarian ini, maka dirumuskan:

i.   Rakaman video  Majlis Ijazah di Kuang pada 22 Jul 2009 tidak ditunjukkan kepada ramai, pada  hal hari dan tarikh tersebut merupakan sebagai  tarikh keramat yang sungguh bermakna  kepada persatuan dan Datuk sendiri.   Rakaman ini dikendali oleh Jabatan Penerangan.   Carilah  ‘master  copy’ yang asal,  tidak edit.   Perkara ini dijadikan simpanan/dokumen SULIT kerana  mereka yang  terlibat tidak nampak akan khilafnya di  peringkat  awal.

ii.   Pasca Majlis Ijazah di Johor Bharu.  Perihal kelainan bunyi syahadah ini turut  ditanya oleh  beberapa   ahli senior,  Datuk memberi jawaban bahawa dengan kalimah seperti tersebut,   akan langsung  terus sampai ke atas. Salah atau tidak bukan ukuran saya tetapi jelas Datuk telah mengaku itulah kalimah yang dibawanya,  satu kalimah tidak lazim.  Untuk makluman saudara, ada laporan bahawa kini (mungkin sudah berubah) ada tenaga pengajar terus menjadikan kalimah tidak  lazim ini selaku pakaiannya, hatta dalam solah sendiri.        
                      
iii.   Majlis Ijazah di UPM, Serdang.  Dilaporkan dalam ucapan Datuk, ada  menyebut bahawa  ada  pihak  yang ingin tahu dan  mencabar aqidahnya dan setelah itu  semasa membuat  ijazah  berlaku  sedikit  keganjilan.  Bermula dengan kalimah tidak lazim dan selang kemudian bertukar kepada lazim dan  kemudian   disambut semula dengan kalimah tidak lazim pada peringkat akhiran pengijazahan.   Maka  adakah ini dapat dipadankan sebagai telo jika sekejap salah dan sekejap lagi betul.   Bagi  saya  yang hak dan batil tidak dapat bersatu.     
                        
iv.   Pada peringkat awalan dalam majlis-majlis ijazah dan bukan ijazah dijadikan larangan  untuk membuat rakaman audio atau video, kecuali jika dikendalikan oleh Jabatan Penerangan.   Maka apa disajikan seperti dalam Youtube adalah rakaman curi-curi.  Soalnya kenapa takut kerana majlis untuk ramai bukan khusus untuk disampaikan pesan-pesan ilmu sir/rahsia.   Seharus hendaklah berani kerana benar dan jika mungkin ada pihak yang ingin manupulasikan  sesuatu perkara, maka itulah guna adanya rakaman Jabatan Penerangan.

11.   Dengan penjelasan yang dirumuskan ini,  saya dengan berani, tegar dan bertanggungjawab mengatakan bahawa Datuk adalah seorang pembohong kerana tidak bertanggungjawab atas prilakunya sendiri, malah boleh saya takrifkan sebagai pengecut , takut berhadapan dengan ramai untuk menjelas perkara-perkara ini, jika ia benar.

12.   Inilah yang saya ingin sampaikan kepada saudara untuk memberi  pertimbangan yang wajar sebelum perkara buruk berlaku.  Apakah saudara sanggup mencemari aqidah anak bangsa,  adakah wajar kita dipimpin oleh seorang yang bersifat sedemikian. Terpulanglah kepada saudara untuk membuat pendirian masing-masing,  yang pentingnya saya telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab saya. Bagi saya secara peribadi isu kalimah tidak lazim adalah petunjuk jelas lagi mutlak untuk menafikan bahawa Datuk adalah bukan yang Hak, masakan sesuatu yang lazim sejak zaman Nabi Adam as sampai sekarang maka Allah kurnia satu yang tidak lazim kepada seorang manusia  seperti Datuk.  Masakan Allah mahu merosak seorang yang sangat hangat dan hebat  menggelarkan dirinya kuat pembawa tauhid,  bahkan telah bersalin lidah dengan guru Al Quran.

13.   Sebagai satu hujah, mungkin saudara mahu katakan khilafan itu boleh berlaku atas sifat makhluk, sifat baharu sebagai alam yang kena jadi dan kini beliau, yakni Datuk telah kembali normal, setelah memperbaiki telonya. Dari segi akal mungkin harus baginya memperbetulkan keteloran beliau dan tetapi ada yang  berpendapat telo adalah satu yang sukar diubah, kerana ini dikait sangat atas keturunan.   Maknanya sejak awal itulah fasih tak fasihnya dan dari awal sampai kini dan sudah tentu  boleh dijadikan sebagai identiti tersendiri.  Bagi saya bukan dia boleh berubah menjadi betul atau tidak, tetapi apakah akan dan telah terjadi kepada mereka yang berijazah dengan Datuk.   Sepertimana telah saya katakan, bahawa kalimah tidak lazim ini menjurus kepada syirik dan murtad.  Jika benar telah dapat dibetulkan dalam fasih ucapan, apakah harus berlaku sebagai seorang yang bertanggungjawab membawa satu yang sangat kufur. Saya tidak mahu jawab, sebaliknya saudara harus mencari formula dengan merujuk kepada ikhtibar dari sejarah lalu dan juga pada mana-mana ulama dan mereka yang arif.

14.   Bagi saya, saya sangat bersyukur kerana Allah telah memberi taufiq dan hidayahNya  serta keberanian kepada saya untuk jelas dan nyatakan perkara ini, walaupun nanti saya akan dicemuh sebagai petualang dan perosak persatuan dan ataupun sebagainya.  Hanya kepada Allah juga saya serahkan kerana tiada daya upaya saya untuk menentang kehendakNya.  Saya turut bersangka bahawa kemelut ini,  jika boleh ditakrifkan sebagai kemelut akan menjejaskan status keahlian dalam PSSCM tetapi saya tetap dengan pendirian bahawa bukan nama, bukan jawatan dan bukan kemenangan yang saya carikan tetapi perjuangan saya adalah berpegang kepada yang benar dan terus menyatakan yang benar.

15.   Dalam surat ini, tidak terniat saya untuk memburuk-burukkan sesiapun,  hatta Datuk sendiri, tetapi kerana hakikatnya saya harus dan terpanggil menjelaskan atas kebenaran keadaan demi anak bangsa, rakyat dan Islam, agama kita yang suci. Jangan sampai mahu pertahankan instutusi PSSCM,  aqidah kita semua tercemar.  Kepada Allah hendaklah kita kembalikan  dan kepada Allah jua saya panjatkan segala ampunan sekiranya, saya salah dari segi adap dan adat, bagaimanapun saya tetap tegar dengan inilah pendirian saya, yang harus saya panjangkan kepada semua melalui saudara, selaku YDP Cawangan negeri atau setaraf di peringkat IPT.   Sesugguhnya dari Tuhan kita datang dan kepada Tuhan juga kita akan kembali.

16.   Sebagai penutup disarankan kepada saudara dan semua ahli agar merujuk dahulu secara sulit kepada kenalan alim dengan seikhlas-ikhlasnya,  agar anak bangsa kita tidak teraniaya  kerana pendirian kita yang taksub kepada persatuan.

17.   Akhir sekali terima kasih kerana membaca surat ini. Wassalam.

Sabda Rasullah Nabi Muhammad SAW
 …………..
 berkatalah kamu dengan benar walaupun yang benar itu sungguh  menyakitkan
 …………


 Yang benar


…………
[Nota : surat asal ini telah kami terima bertulisan Melayu iaitu dalam tulisan Jawi dan telah di Rumikan 
agar yang ramaidapat membacanya. Agar faham kandungan isi surat ini, 
maka ramailah dapat membuat panduan serta memberi pandangan 
semoga kemurnian yang benar terjaga tanpa terjaja]
 
Copyright 2010 Aku Mati Hidup Kembali