Monday, May 31, 2010

FAKTA SEBENAR YANG SAYA LALUI SEJAK MEI 2009


FAKTA SEBENAR YANG SAYA LALUI

Salam buat semua. Saya terpanggil untuk berkongsi fakta sebenar apabila nama saya dibabitkan dalam surat oleh Maj Mohmad Anuar Ahmad (B) bertarikh 21 Mei 2010.
Ku mulai warkah ini dengan memohon keampunan daripada Yang Maha Agung Allah SWT dari sifat keji terutamanya syirik dan munafik di dalam menyatakan kebenaran. Ku berselawat terhadap junjungan besar kekasihnya Nabi Muhammad SAW serta pewaris-pewarisnya yang terus tanpa jemu-jemu menyampaikan ajaran Islam yang hakiki hingga saat ini termasuklah Guru Utama Silat Cekak Tuan Haji Ishak Itam. Dan pewaris itu tetap pada empunya diri Tuan Haji Ishak Itam hingga saat dan ketika ini. Belum lagi berubah. Ku jua ucapkan salam atas Keramah dan Hikmah kedua ibubapa yang melahirkan aku. Terhadap  sahabat-sahabat yang masih teguh dalam perjuangan mempertahankan Islam agar sentiasa di dalam rahmatnya dan diberi kekuatan yang berterusan walaupun dari golongan yang sedikit.
Ku rela menerima apa jua dugaan, cabaran, balasan dan hukuman atas apa jua yang bakal ku sampaikan kerana sesungguhnya hati ini hanya takut pada yang Maha Besar. Tidak sekali-kali ku rasa gentar terhadap pangkat-pangkat, darjat-darjat dan kehebataan sebarang mahluk yang kena jadi. Moga Allah sentiasa beserta di dalam warkah ini dan diredhainya. Insyallah.
Saudara-saudaraku,
Aku tidak mengaji dan mengkaji sedalam yang disampaikan oleh Maj Mohmad Anuar, tetapi jika ia berkehendak JADI maka JADILAH. Adapun setakat yang mampu aku bicarakan adalah bermula bulan Mei 2009 di mana di masa itu, aku ingin membeli kain batik cekak untuk anaknda tercinta dan hadir ke bilik Pengarah Urusan Maroz Tailoring atas jemputan yang empunya pejabat. Hanya ku ingin memetik kata-kata tuan punya pejabat "Roslizan, abang ini bukan orangnya yang layak untuk menjadi Guru dan Presiden kerana abang kenal siapa abang, jika sekiranya di masa-masa akan datang, ada seorang Guru yang sebenar maka abang akan serahkan segala tugas yang diberi oleh Guru Utama (iaitu tugas Presiden yang diarahkan oleh Ustaz Ishak untuk beliau laksanakan) dengan rela hati. Abang bukan orangnya". Itulah kata-kata yang masih terngiang-ngiang di telingaku hingga saat ini. n
Setelah itu, aku berada di dalam mesyuarat khas AJK Pusat PSSCM semasa di Kuala Trengganu untuk membincangkan perihal kesihatan Yang Mulia Guru Utama. Perintah yang diberi oleh Pengerusi Mesyuarat pada masa itu adalah "Kita beri tempoh dalam masa 2 minggu untuk sama-sama memikirkan kaedah yang paling baik bagi menghadapi situasi kesihatan Guru Utama sekarang bagi melancarkan perjalanan PSSCM". Kesinambungan dari itu, aku dan semua AJK Pusat berkumpul di Bangunan Sentul bagi membicarakan soal yang diarahkan kepada kami untuk difikirkan pada tanggal 14hb Jun 2009. Tanpa bertanya kepada sidang yang hadir, Tuan Pengerusi telah menyatakan bahawa beliau telah diangkat oleh Tuan Haji Ishak bin Itam sebagai Pemegang Amanah untuk membawa Silat Cekak. Jika tidak percaya boleh dipastikan dengan bertemu dan bertanyakan sendiri kepada Yang Mulia Guru Utama. Aku dan semua ahli sidang menghormati keputusan tersebut walaupun agak terkejut. Tanggal 18hb Jun 2009, semua ahli sidang Pusat telah hadir ke rumah Yang Mulia Tuan Haji Ishak. Alhamdu lillah, kupanjatkan syukur ke hadrat Allah SWT, setakat yang Allah memberiku pendengaran pada ketika itu, tidak ada terkeluar walau sepatah ayatpun dari kalam Tuan Haji Ishak bin Itam bahawa Datok Haji Maideen adalah pengganti dan Guru Utama. Kerana pada saat itu, yang agak keterlaluan berbicara adalah Saudara Setiausaha Agung yang agak terkehadapan mengupas dan mengulas bicara Guru Utama. Cuma aku sempat memetik beberapa bait ayat Yang Mulia Tuan Haji Ishak Itam. Antaranya:
1. Pemberian hanya dari yang satu.
2. Pada adat mata nampak tapi tak nampak.
3. Apa yang ada hanya HAK saya.
4. Kita buat dulu bagi bersatu Jangan Pecah. Masing-masing buat.
Berlanjutan dari peristiwa keramat tersebut maka pada tanggal 4hb Julai 2009, di Hotel de Palma Ampang dihadiri oleh hampir semua Ketua-Ketua dan Naib Yang DiPertua Cawangan, AJK Pusat dan LPT maka terzahirlah satu peristiwa mengangkat diri sendiri sebagai PEMEGANG AMANAH oleh Datok Haji Maideen. Ramai dikalangan hadirin dapat menerimanya kerana HANYA sebagai Pemegang Amanah. Berkumandanglah beberapa ayat keramat dari diri Datok pada ketika itu bagi membenarkan dan menguatkan hujah bahawa beliau adalah sebagai Pemegang Amanah. Dan apa yang amat ku terasa adalah ketika Datok mengatakan bahawa "Selagi hayat Yang Mulia Guru Utama kita ada, saya tidak akan ditabalkan sebagai Guru walaupun 10 tahun. Bukan diistiharkan tapi akan ditabalkan selepas 40 hari Yang Mulia Guru Utama kembali ke rahmatullah". Peristiwa nyata dan benar yang disaksikan lebih 40 orang pemegang jawatan penting persatuan.
Maka satu sejarah telah tercatit bermula 22hb Julai 2009 apabila Majlis Ijazah yang pertama oleh Datok (Pemegang Amanah) dilaksanakan di Pusat Latihan Kuang Selangor. Dari saat itu maka majlis-majlis ijazah berterusan tanpa henti. Dari hari ke hari, dari minggu ke minggu, aku dan beberapa rakan mengikuti perkembangan majlis tersebut hinggalah aku sendiri yang menyaksikannya beberapa kali di Changkat Lada Teluk Intan Perak pada tanggal 3 Ogos 2009. Benarlah apa yang dibacarakan oleh Maj Mohmad Anuar dalam warkahnya bertarikh 21 Mei 2010, bahawasanya terdapat percanggahan dari lazim terhadap dua kalimah syahadah yang dilafazkan oleh Datok. 
Atas dasar tanggungjawab, beberapa pihak berwajib yang arif lagi bijaksana telah ku pohon pandangan dan khidmat nasihat. Jawapannya selari dan sama. Mereka mengatakan bahawa syahadah yang dilafazkan itu bercanggah. 
Berpegang kepada keyakinan diri terhadap Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana, ku cekalkan semangat dan bulatkan hati untuk merujuk perkara ini kepada Yang Mulia Tuan Haji Ishak bin Itam pada 21 Ogos 2009. Membawa 4 orang saksi bersama iaitu Encik Adenan bin Mohd Dom, Maj Mohmad Anuar, Encik Amiruddin bin Md Isa serta Encik Md Azmi bin Ismail (yang ketika itu telah sedia ada di rumah Yang Mulia Guru Utama), aku telah mengutarakan perihal masalah syahadah Datok. Keputusan Yang Mulia Tuan Haji Ishak bin Itam amatlah mudah tetapi mencabar iaitu "Roslizan perbetulkan, buat bagi betul dan buat betul-betul". Aku bertanya untuk kepastian, "Adakah saya yang perlu perbetulkan Datok?" Jawapan Yang Mulia Tuan Haji Ishak bin Itam "Ya". Aku bertanya lagi, "Kalau dia tak mahu terima, macamana Ustaz?" Maka jawab Yang Mulia Tuan Haji Ishak bin Itam, "Itulah masalahnya,"
Usul perkara dan keputusan Yang Mulia Tuan Haji Ishak bin Itam telah ku maklumkan kepada kekandaku SUA pada 25 Ogos 2009 untuk beliau mengambil tindakan tetapi beliau menyuruhku memaklumkan sendiri kepada Datok.
Kata-kata Yang Mulia Guru Utama "Amanah Jangan Pecah" sentiasa bermain di hatiku, maka ku beranikan hati untuk membuat temujanji dengan Datok melalui pemandunya Encik Abd Karim bin Said pada 1 Sep 2009, tetapi malangnya diberi alasan bahawa Datok sibuk. Kepada Datok sendiri ku tujukan sms untuk membuat temujanji, juga tidak berjawab. Oleh hal yang demikian pada tanggal 2 Sep 2009 satu sms telah ku hantar kepada Datok dan salinan kepada beberapa orang yang lain iaitu SUA, Abd Karim, Zaini Marzuki, Adenan Mohd Dom, Maj Mohmad Anuar dan Safaran. Kandungan sms ku adalah sebegini.."Salam bang...Perkara Pertama. Saya nak maklumkan bahawa pd 21 Ogos lalu, YM Guru Utama Tn Hj Ishak telah meminta saya, adenan, mej anuar dan amirudin untuk beritahu abg pasal syahadah abg masa majlis baru bercanggah dgn lazim. Itu ajer. Terpulang pd abg nak perbetulkan atau tidak...Sy buat ni atas dasar sayang pd abg. Berpuloh yg mendengar tapi tak berani nak tegur. Majoriti yg taat dan sokong abg pasal kedudukan aje. Perkara kedua. Saya nak mohon agar surat perlantikan abg sebagai Presiden/Guru ditarik balik kerana telah membuka pintu pd musuh dan bercanggah dgn perlembagaan fasal 5.1 dan 11.4. Selepas abg baca sms ni, abg buat keputusan samada nak pecat saya ke. Saya tak kisah. Saya bukan orang yang berjuang utk rebut jawatan. Tugas saya dah selesai. Biarlah Allah SWT sahaja yg menentukan. Salam."
Maka dengan sms tersebut, sekurang-kurangnya amanah Guru terhadap diriku telah kusampaikan kepada yang berwajib tetapi sebagaimana sedia maklum, ianya tidak mendapat apa-apa maklumbalas. 
Akhirnya, aku telah mengutarakan sekali lagi perkara ini di dalam Sidang Pusat pada tanggal 14hb Sep 2009 dan perkara ini telah dijawab dengan panjang lebar untuk SUA. Petikan kata-kata SUA ketika mempertahankan kalimah syahadah Datok antaranya adalah' "Saya kenal Datok dah lama, beliau tidak berpegang dengan kesalahan kalimah tersebut, ia hanya telo sebagai orang berketurunan India" dan aku dengan rasa terkilan kerana SUA mengatakan bahawa apa yang Datok ucapkan tak sama dengan hati (jadi persoalannya...mulut kata lain, hati kata lain???) dan atas penuh rasa tanggungjawab aku me mufarakah kan diriku dari PSSCM (surat SUA menyatakan aku berhenti) tanpa rasa menyesal dan rugi.
Saudaraku sekelian, pada hari ini, ku hidangkan warkah ini pada kalian kerana aku rasa terpanggil atas kudratNYA dan iradatNYA bagi menyatakan kebenaran dan fakta yang aku sendiri lalu, bukannya dengar-dengar cerita orang atau baca-baca di laman blog dan sebagainya. Setelah lebih 7 bulan ku menyepi diri walaupun dalam tempoh itu, aku dicemuh dengan pelbagai perkara, Alhamdu lillah, cemuhlah aku, katalah aku....Guru berpesan, "Bukan nak jadi kudispun". Apalah salahnya orang nak kata, mulut dia, ikut dialah. Asal jangan menyusahkan orang.
Tetapi apabila perkara yang menyalahi hukum dan lazim serta boleh meruntuhkan keimanan seseorang maka wajiblah kita memeranginya. 
Akhir pena, sekali lagi ku bermohon kepadaNYA agar semua saudaraku sekelian agar dapat melihat dengan sejelas-jelasnya dengan mata hati tidak hanya melihat dengan mata zahir bagi mencari suluh penerang hidup. Ku jua memanjatkan permohonan agar saudaraku Datok Maideen, SUA, AJK Pusat, LPT dan seluruh ahli PSSCM khasnya, termasuklah Umat Melayu dan Umat Islam akan sentiasa mendapat perlindungan dari Allah SWT. Wasalam dan Amin.
Hanya Kerana Allah,
Komander Roslizan bin Ahmad Mahidin TLDM (Bersara) KAT, PPS, PPA
Mantan Penolong Ketua Penerangan PSSCM (2005-2009)
Mantan Setiausaha/Ketua Penerangan PSSCM Cawangan Perak (2004-2008)
Mantan YDP PSSCM Cawangan Perak (1998-2002)
Mantan YDP PSSCM Cawangan Johor Darul Takzim (1995-1998)
Mantan Setiausaha Jabatan Penerangan PSSCM (1993-1994)
Diijazahkan oleh Almarhum Ustaz Hanafi bin Hj Ahmad (1985)
Nota: Sebarang kemusykilan sila berjumpa saya di Pusat Pembagunan Modal Insan Darul Insan


 
Copyright 2010 Aku Mati Hidup Kembali